by Hilal Asyraf.
Di
dalam Novel Sinergi, ada saya ceritakan berkenaan bagaimana orang-orang beriman
melayan ‘dosa’. Ya. Di dalam Fanzuru juga ada saya kongsikan bagaimana guru
saya, Sheikh Asyraf Banu Kinanah menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu
serius hendak menggapai redha Allah SWT, maka dosa kecil pun akan dilihat besar
untuk dirinya.
Maka
di sini kita dapat melihat bahawa dosa adalah sesuatu perkara yang bukan
kecil.
Ya,
apakah perkara yang lebih menakutkan bagi seseorang yang matlamatnya hendak
mendapatkan keredhaan Allah, melainkan jauh daripada Allah? Itu adalah satu
mimpi ngeri.
Maka
dosa menjauhkan kita daripada Allah SWT.
Lebih
hebat lagi, dosa adalah seperti virus.
Sekiranya
dilazimi dan dilayan seperti ‘biasa’, maka ia akan membunuh jiwa.
Dosa,
jauh dari Allah
Basis
pertama dalam melakukan dosa adalah kerana hilangnya iman di dalam hati. Ini
adalah apa yang saya perolehi daripada buku Tazkiyatun Nafs karangan Dr. Anas
Ahmad Karzon.
Beliau
memetik sabda Rasulullah SAW:
“Tidak
akan berzina seorang penzina itu sekiranya ketika dia hendak berzina itu dia
beriman,” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Ini
menunjukkan betapa keimanan dan dosa bukanlah dua perkara yang mampu wujud di
dalam satu masa. Apabila manusia melakukan dosa, tanda keimanannya sedang
mempunyai masalah. Keimanannya ketika itu tidak mampu merasakan Allah
bersamanya, Allah melihatnya. Keimanannya ketika itu tidak mampu memikirkan
apakah konsikuensi perlakuannya hari ini di akhirat. Menyebabkan dia tetap
melakukan kemungkaran tersebut.
Maka
ketika dia melakukan dosa, dia jauh dari Allah SWT.
Walaupun
hakikatnya, Allah itu amat dekat dengannya.
Maka
apabila dilazimi kejauhan ini…
Maka
apabila jiwa dilazimi dengan ‘kejauhan’ ini, lama kelamaan kita akan menyedari
bahawa diri menjadi lemah dan tidak kuat. Bukan lemah dan tidak kuat untuk
menjalani kehidupan seperti manusia biasa yang lain. Tetapi lemah dan tidak kuat
untuk berhubungan dengan Allah SWT.
Bacaan
Al-Quran kita akan berkurang, keingatan kita terhadap Allah SWT akan menyusut,
kita kurang hendak bergaul dengan orang-orang yang soleh, mengikuti
program-program yang mengajak kepada kebaikan dan sebagainya. Hatta nanti, solat
pun kita cincai halai balai, dan jangan cerita fasal ke masjid. Jauh
sekali.
Kerana
hati telah lemah.
Di
dalam buku Menjadi Hamba Rabbani karangan Dr. Majdi Al-Hilali, beliau ada
menyatakan bahawa rohani kita berasal dari langit. Maka makanannya adalah dari
apa yang diturunkan dari langit, yakni berhubungan dengan Allah SWT.
Di
sinilah kita melihat betapa apabila kita melazimi dosa, hati kita kekeringan,
seterusnya membawa kita kepada kelemahan yang dinyatakan.
Tidak
akan mampu gembira dengan kegembiraan orang yang
beriman
Bahaya
besar dari pada perkara ini adalah, apabila jiwa kita terbunuh, maka kita tidak
akan mampu bergembira dengan kegembiraan orang yang beriman. Apakah kegembiraan
orang yang beriman? Adalah apa yang dinyatakan di dalam hadith Rasulullah
SAW:
“Ajaibnya
orang beriman, sesungguhnya setiap urusannya untuk mereka adalah baik, sekiranya
mereka diuji mereka bersabar, dan sekiranya mereka diberikan anugerah mereka
bersyukur.” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Di
sini dapat kita lihat akan kondisi seorang mukmin.
Tetapi
untuk jiwa yang terbunuh, perkara ini tidak akan dapat dirasai. Apabila
‘kejauhan’ itu dilazimi, maka lama kelamaan perkara ini akan menghilang dari pada
diri mereka. Hal ini kerana, mereka jauh dari pada Allah SWT, dan tidak akan
mampu hendak menghubungkan apa-apa denganNya.
Penutup:
Apakah yang lebih menakutkan dari dosa?
Sebab
itulah, sebagaimana yang saya sebutkan di dalam Fanzuru, apabila guru saya
Sheikh Asyraf Banu Kinanah menceritakan besar dan menakutkannya dosa itu,
seorang murid bertanya:
“Wahai
doktor, apakah tiada dosa kecil?”
Kemudian
dia menjawab: “Mengapa? Apakah kau hendak melakukannya?”
Satu
kelas terdiam.
Besarnya
dosa. Efeknya juga melemahkan kita. Lemah dan lemah, hingga jatuh ke tahap
terbawah. Bila sumber penerimaan cahaya langit(jiwa) sudah terkatup, apakah
mungkin cahaya menerobos masuk?
Maka
di sinilah kita perlu melihat diri. Artikel ini semestinya untuk melihat diri,
bukan menuding jari ke arah orang lain.
Bagaimanakah
kita dengan dosa, dan bagaimanakah layanan kita terhadapnya.
0 komentar:
Posting Komentar