Sabtu, 16 Juni 2012

Isra’ Mikraj Baitul Maqdis dan Perjuangan Islam
















Tahun Kesedihan

Peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku pada tahun ke-10 kenabian. Tahun tersebut dikenali sebagai tahun kesedihan kewafatan saudara ayahanda Nabi SAW yaitu Abu Talib dan juga kewafataan isteri baginda SAW yang kedua-duanya banyak memberikan bantuan serta pertolongan kepada Nabi SAW dalam menyebarkan dakwah Islam dan memperjuangkan Islam.

Tidak hanya dengan kesedihan kewafatan 2 tonggak besar dalam perjuangan baginda SAW, sebelum berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj, Nabi SAW disakiti apabila baginda SAW pergi ke Thaif untuk menyebarkan Islam dan dalam usaha mencari tempat baru di luar Mekah. Namun kedatangan baginda SAW ke Thaif disambut dengan batu yang dilontarkan oleh penduduk Thaif.

Cibiran yang begitu hebat diterima, satu demi satu cibiran yang menimpa baginda SAW ditambah lagi dengan halangan yang diterima di Thaif, maka ketika perjalanan pulang dari Thaif, Nabi SAW mengadu kepada Allah SWT dengan satu doa yang begitu pilu :

“Ya Allah kepada-Mu  aku mengadukan kelemahanku, kekuarangan penilaianku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Engkau-lah tuhan (tempat bergantungan) bagi orang yang lemah, Engkau tuhanku, kepada siapa hendak Engkau serahkan akan diriku? Kepada orang jauh yang bermuka masam denganku atau adakah musuh yang akan menguasai urusanku? Aku tidak kisah asalkan Engkau tidak murka kepadaku, sebab sungguh teramat luas pengampunan-Mu kepadaku. Aku berlindung dengan cahaya-Mu yang menyinari segala kegelapan dan yang karenanya urusan dunia dan akhirat menjadi baik, agar Engkau tidak menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau murka kepadaku. Engkau-lah yang berhak menegurku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan kekuatan selain dengan-Mu.”

Justeru, tahun berlakunya peristiwa Isra’ Mikrak bukan sekadar tahun kesedihan atas kewafatan saudara ayahanda dan isteri baginda SAW, bahkan ditambah lagi dengan keperitan dalam perjuangan penolakan kaum Thaif dakwah yang dibawa oleh Nabi SAW, dengan cara menyakiti Nabi SAW.

Peristiwa Isra’ Dan Mikraj

Isra’ Mikraj merupakan mukjizat agung yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW. Peristiwa ini berlaku dalam tempo satu malam dan ditemani oleh Jibril AS. Allah SWT menjalankan Nabi SAW dari tempat tidur baginda SAW di Mekah sehingga ke Baitul Maqdis dengan menaiki buraq, kemudian bertemu dengan para nabi yang terdahulu dan baginda mengimami solat secara berjamaah. Selepas itu Nabi SAW diangkat ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah SWT.

Peristiwa ini berlaku dalam keadaan sadar dan Nabi SAW dibawa jalan sehingga naik ke Sidratul Muntaha dalam keadaan berjasad dan roh, bukan hanya roh saja. Ini merupakan pendapat majoriti ulama berkenaan mukjizat mengenai peristiwa Isra’ Mikraj.[1]

Peristiwa ini disebutkan di dalam Al-Quran pada 2 tempat :

1- Dalam Surah Al-Isra’ pada ayat yang pertama, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang Kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan keadaanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.”

2- Dalam Surah An-Najm pada ayat ke-18, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (kebesaran dan keagungan) Tuhannya.”

Tanda-tanda yang besar di sini ketika peristiwa Isra’ Mikraj. Nabi SAW telah diperlihatkan mengenai keadaan ahli-ahli syurga dan neraka. Dan Nabi SAW telah bertemu dengan Allah SWT. Antara siksaan yang di perlihatkan kepada baginda SAW yang menimpa pada ahli-ahli neraka ialah :

1]. Balasan mengumpat. Nabi SAW melihat mereka yang melakukan dosa mengumpat di dalam neraka memakan bangkai-bangkai.[2]

2]. Balasan memakan harta anak yatim secara zalim dan batil. Mereka dikenakan sIksaan dengan memakan bara-bara api sehingga keluar bara api tersebut dari dubur mereka, dan mereka akan mengulanginya semula, sehinggalah tamat tempo sIksaan mereka atas dosa memakan harta anak yatim secara zalim.[3]

3]. Dosa orang yang memakan riba’. Perut mereka dipenuhi dengan ular-ular yang hidup yang keluar masuk dari perut mereka.[4]

Dan juga dosa-dosa lain seperti zina, orang yang tidak mau menunaikan zakat, orang yang melakukan fitnah dan tidak melaksanakan amanah dengan baik. Selain itu Nabi SAW juga diperlihatkan dengan ganjaran bagi mereka yang berjihad di jalan Allah baginda SAW melihat sekumpulan manusia yang menanam tanaman kemudian menuai dan mendapatkan hasil pada kemudian hari. Jibrail berkata :

“Mereka itulah orang yang berjihad di jalan Allah, digandakan bagi mereka pahala sebanyak 700 kali ganda.”[5]

Baitul Maqdis Diberkati

Isra’ Mikraj dengan Baitul Maqdis menunjukkan baawa petanda bagi kepentingan Baitul Maqdis ke atas umat Islam. Bahkan dalam Surah Al-Isra’ pada ayat yang pertama Allah SWT menyebut bahawa Baitul Maqdis merupakan tempat yang diberkati oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang Kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan keadaanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.”

Bahkan Baitul Maqdis menjadi tempat perhimpunan bagi para nabi di malam hari dan menyaksikan bahawa pengiktirafan ke atas Nabi SAW sebagai penghulu segala nabi dengan menjadi imam solat bagi para nabi. Justeru, ia memang tempat yang diberkati dengan mukjizat Isra’ Mikraj apabila tempat perhentian Nabi SAW sebelum dinaikkan ke langit dan juga tempat perhimpunan para nabi sejak terdahulu.

Pada hari ini juga menunjukkan bahwa betapa penting dan bernilainya Baitul Maqdis dan Saidina Umar di zaman pemerintahannya menjadi orang yang pertama membebaskan Baitul Maqdis daripada jajahan Rom. Kemudian apabila Baitul Maqdis dijajah kembali oleh pihak Salib, maka Panglima Solahuddin Al-Ayubi menjadi orang yang kedua yang membebaskan Baitul Maqdis. Dan konflik pada hari ini dan tekanan yang diterima oleh rakyat Palestin yang ditindas, siapakah yang akan menjadi panglima dalam membebaskannya untuk kali yang ke-3? Maka inilah antara keberkatan yang diberikan oleh Allah dengan sentiasa mengalirnya darah syuhada di Palestin dalam jihad membebaskan Baitul Maqdis dari tangan penjajah. Benar sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Akan ada sentiasa satu kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan kebenaran, mereka tidak akan mampu disekat atau dihalang oleh orang yang membenci mereka dan kelompok tadi akan terus berjuang sehinggalah Allah menurunkan urusan-Nya.”[6]
Di dalam satu riawayat yang lain : “Di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis”[7]

Nilai Baitul Maqdis Terhadap Umat Islam

Dr. Yusuf Al-Qardhawi menyenaraikan 5 nilai Baitul Maqdis terhadap umat Islam, yaitu :

1- Kiblat yang pertama sebelum ditukarkan kepada Kaabah menjadi kiblat bagi umat Islam berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah pada ayat ke-150.

2- Tempat berlaku peristiwa Isra’ Mikraj, serta dinyatakan bahwa Allah memberkati Baitul Maqdis dan di sekelilingnya, berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ pada ayat pertama.

3- Antara 3 masjid yang mempunyai kelebihan yang besar. Nabi SAW menyebutkan di dalam hadis yang bermaksud :
“Janganlah kamu selalu pergi melancong melainkan pada 3 tempat untuk kamu ziarah yaitu Masjidil Haram, Masjid Al-Aqsa dan masjidku ini (Masjid An-Nabawi)”[8]

4- Tanah bagi para nabi. Kisah para Nabi yang pergi ke Palestin (Baitul Maqdis di dalam Palestin), seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan pengikutnya apabila diselamatkan daripada Firaun dan tenteranya, dan Nabi Sulaiman. Semua kisah yang dipaparkan dalam Al-Quran menyebut mengenai tanah yang diberkati yang merujuk kepada Palestin. Rujuk Surah Al-Anbiya’ pada ayat ke-71dan 81, Surah Al-A’raf pada ayat ke-137 dan Surah Saba’ pada ayat ke-18.

5- Tanah jihad. Hal ini berdasarkan kepada Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Akan ada sentiasa satu kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan kebenaran, mereka tidak akan mampu disekat atau dihalang oleh orang yang membenci mereka dan kelompok tadi akan terus berjuang sehinggalah Allah menurunkan urusan-Nya.”[9]
Di dalam satu riawayat yang lain : “Di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis”[10]

Perjuangan Ke Baitul Maqdis Masih Belum Berakhir

Hari ini umat Islam masih lagi menanti panglima sebagaimana Umar Al-Khattab dan Solahuddin Al-Ayubi yang berjaya membebaskan Baitul Maqdis dari jajahan musuh. Selepas mereka, siapakan yang akan muncul bagi membebaskannya buat kali ke-3? Perjuangan masih berterusan sehingga hari kiamat sebagaimana janji Nabi SAW dalam hadis baginda SAW.

Dalam memperingati Isra’ Mikraj, kita dapat simpulkan beberapa perkara yang boleh diambil agar kita meneruskan perjuangan Islam terutama terhadap kewajipan membebaskan Baitul Maqdis ialah :

1- Mehnah dan tribulasi dalam perjuangan Islam merupakan asam garam dalam dunia perjuangan. Nabi SAW juga diuji bahkan lebih berat daripada kita. Maka tidak perlu bersedih dengan mehnah dan tribulasi, apa yang pasti kita merupakan makhluk yang mulia di sisi Allah sekira kita beriman walau dicerca dan dicaci. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran : 139 yang bermaksud :

“Jangan kamu merasa hina dan sedih, kamu lebih tinggi (mulia) sekiranya kamu benar-benar beriman.”

2- Perjuangan memerlukan pengorbanan dan semangat juang yang tinggi. Seruan Islam tidak menjanjikan kemewahan dan mempunyai tempo yang diketahui. Halangan dan tentangan manusia terhadap seruan Islam merupakan suatu kepastian, kerana mereka masih belum mengetahui. Namun perjuangan tidak boleh dihentikan. Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah pada ayat ke-42 :

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, akan tetapi ia tempo yang berpanjangan dan pasti menerima kesusahan.”

3- Allah SWT tempat pergantungan kita dalam perjuangan. Doa merupakan senjata umat Islam. Nabi SAW berdoa dengan sayu ketika pulang dari Thaif. Inilah perbedaan perjuangan Islam dengan perjuangan taghut. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ pada ayat ke-104 :

“Sekiranya kamu merasa sakit sesungguhnya pihak musuh juga merasa kesakitan sebagaimana kamu merasakan sakit, dan kamu mengharapkan Allah sedangkan mereka tidak mengharapkan.”

4- Kita merupakan rantai dalam perjuangan yang membawa perjuangan Islam yang diwarisi daripada pejuang-pejuang terdahulu. Pejuang dahulu juga telah merasai keperitan dan telah berkorban demi perjuangan yang suci ini. 

Begitulah apabila Nabi SAW dalam tahun kesedihan maka Allah mempertemukan baginda SAW dengan para nabi yang lain agar baginda SAW tidak merasai keperitan baginda SAW bukan hanya baginda SAW yang merasai namun ia juga dirasai oleh para nabi yang terdahulu dalam menegakkan Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab pada ayat ke-23:

“Di antara orang yang beriman tersebut ada orang yang telah menepati apa yang mereka telah janjikan kepada Allah, maka di antara ada yang telah gugur. Dan di antara mereka ada yang masih menanti (syahid) dan mereka tidak mengubah (janji-Nya untuk berjuang di jalan Allah).”

6- Perjuangan tidak pernah berhenti dan tamat. Pergolakan yang berlaku di dunia yang menyaksikan umat Islam ditindas merupakan satu kewajiban yang mesti dilaksanakan bahwa perjuangan Islam tidak pernah berhenti. Islam terus diperjuangkan sehinggalah manusia kembali kepada Allah hingga hari kiamat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

Akan ada sentiasa satu kelompok dari pada umatku yang akan memperjuangkan kebenaran, mereka tidak akan mampu disekat atau dihalang oleh orang yang membenci mereka dan kelompok tadi akan terus berjuang sehinggalah Allah menurunkan urusan-Nya.”[11]

Wallahu a’lam…

Disediakan oleh :
‘Izzati Farhana bt Mahadzir
Penasihat HEWI PMRAM 2012
Rujukan :

1. As-Sirah An-Nabawiyah, oleh Dr Ali As-Solabi, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr
2. Fiqh As-Sirah, oleh Dr Muhamad Said Ramadhan Buthi, cetakan Dar As-Salam
3. Al-Quds Qadhiyah Kulli Muslim, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah

[1] Imam Nawawi dalam syarahnya ke atas Sahih Muslim, m/s 390 dan Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari
[2] Al-Fath Ar-Rabbani m/s 255
[3] Fathul Bari jilid 8 m/s 200
[4] Tafsir Ibnu Kathir, jilid 4 m/s 274
[5] As-Sirah An-Nabawiyah, oleh Dr Ali As-Solabi, m/s 278
[6] Bukhari dan Muslim
[7] Riwayat Abdullah bin Ahmad di dalam Musnad Ahmad
[8] Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah dan Abi Sa’id AL-Khudri
[9] Bukhari dan Muslim
[10] Riwayat Abdullah bin Ahmad di dalam Musnad Ahmad
[11] Bukhari dan Muslim




0 komentar:

Posting Komentar

Powered By Blogger